Monday, March 9, 2009

Riz Harap Tuah "Bermula Semula' - gua.com.my

credit to: by gua.com.my | 8 Mar 2009
Bekas naib juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Mohammed Idris Mohd Zaizizi atau lebih dikenali sebagai Riz, muncul dengan album sulungnya, ‘Bermula Semula’, yang bakal dipasarkan pada bulan April atau Mei nanti.

Ketika ditemui di majlis pra-dengar albumnya di pejabat Maestro di Plaza Damansara baru-baru ini, Riz mengakui bersyukur kerana kerjaya seninya berjalan dengan lancar. Apatah lagi, ramai rakan-rakan AF lain masih ternanti-nanti giliran untuk menghasilkan album sendiri.


"Sebelum ini saya hanya muncul dengan single “Hanya Sandiwara” dan saya berterima kasih kepada para peminat yang menerima lagu tersebut dengan baik. Saya juga pernah merakamkan lagu duet bersama Alya, “Ku Pinjam Satu Bintang”.

"Pada mulanya, saya hanya mahu buat single yang terdiri daripada sebuah lagu balada dan sebuah lagu rancak. Namun segalanya berubah dan perancangan untuk menghasilkan single bertukar menjadi album apabila saya bertemu dengan komposer Ajai.

"Ini kerana dengannya segala-galanya menjadi lebih mudah kerana kami banyak berbincang tentang apa yang kami inginkan. Kiranya album ini adalah kerjasama terbaik saya dengan Ajai dan saya memilih Ajai sebagai penerbit kerana saya yakin dengan kemampuannya.

"Apatah lagi, sejak dahulu saya memang berminat untuk bekerjasama dengannya. Mungkin bagi penyanyi lain mereka suka ramai penerbit di dalam album mereka, tetapi bagi saya, saya mahu album saya mempunyai sebuah konsep dan bukan rojak," ujar Riz.

Ditanya mengapa ‘Bermula Semula’ dipilih menjadi judul album, anak kelahiran Perak ini memberitahu, selepas menyertai AF6 dia kini melibatkan diri dalam dunia seni yang serba mencabar. Malah persaingan juga semakin sengit.

"Kalau di dalam AF6, dunia saya agak kecil. Tetapi kini saya perlu bersaing dengan semua penyanyi sedia ada dan saya berharap agar mendapat tempat di hati peminat. Album ini juga bermakna bermulanya perjuangan saya di dalam dunia nyanyian selepas AF6," katanya.


Diusik dengan persoalan tentang persaingan bakal pelajar AF7 yang akan hadir tidak lama lagi, Riz mengakui di dalam apa jua bidang memang wujud persaingan. Namun dia tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai alasan untuknya mundur di dalam dunia seni.

"Memang, hari-hari ada sahaja penyanyi baru yang muncul. Bukan setakat pelajar AF7. Oleh sebab itu, saya perlu memandang segala persaingan ini secara sihat dan tidak perlu takut untuk menghadapinya. Saya yakin dengan kerja keras, disiplin serta lagu-lagu berkualiti yang saya berikan kepada peminat, diri saya akan diterima," ujarnya yang sebelum ini sering dikaitkan dengan idolanya, Anuar Zain.

Dalam pertemuan itu juga, Riz berharap kehadiran album ‘Bermula Semula’ akan menepis pandangan klise yang mengatakan dia mempunyai persamaan dengan Anuar. Katanya melalui album tersebut dia cuba menonjolkan kekuatan vokalnya di samping mewarnakan lagu-lagu yang ada di dalam album yang berkonsepkan pop itu dengan caranya yang tersendiri.

"Proses rakaman bermula pada bulan September tahun lalu dan sepanjang proses rakaman, saya tidak mengalami sebarang masalah. Namun ada juga lagu yang sukar untuk saya nyanyikan kerana susah untuk dapatkan mood yang sesuai.

"Oleh sebab itu, saya memerlukan masa yang panjang untuk merakamkan lagu tersebut. Namun saya bernasib baik kerana Ajai banyak memberikan kerjasama dan tunjuk ajar kepada saya. Kini, barulah saya sedar bukan mudah untuk menghasilkan album dan saya masih perlu banyak belajar untuk bergelar penyanyi yang baik," katanya.

Selain lagu “Hanya Sandiwara”, “Ku Pinjam Satu Bintang” dan “Bermula Semula”, lagu-lagu lain yang turut dimuatkan di dalam album yang diterbitkan oleh Riz Entertainment dan Maestro ini ialah “Harus Ku Yang Pergi”, “Kehilangan”, “Kau Wanita”, “Cinta Ini” serta “Khilaf”.

"Selepas ini kami merancang untuk mengetengahkan lagu “Harus Ku Yang Pergi”, ciptaan Ajai. Lagu tersebut agak perlahan dan sesuai dengan vokal saya. Saya harap peminat akan menyukai lagu ini kerana ia merupakan antara lagu yang paling saya gemari," jelasnya.





No comments:

Post a Comment