Tuesday, October 20, 2009

Hasil titik peluh terbitkan album


credit to: Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Justeru, tidak hairanlah apabila kehadiran penyanyi tinggi lampai ini sentiasa mendapat perhatian. Walaupun menyepi seketika selepas berakhirnya AF6, dia kembali menyengat menerusi single Ku Pinjam Satu Bintang, hasil paduan suara bersama Alya.

Sepinya Riz, 23, bukan bererti menarik diri, tetapi sibuk dengan proses album sulungnya. Akhirnya, kerja keras yang dimulai sejak hujung tahun lalu membuahkan hasil apabila Riz bakal menerbitkan album penuh yang dijangka berada di pasaran hujung bulan ini. Biarpun tidak sabar menanti, dia dikatakan pula mendapat tajaan golongan VIP bagi merealisasikan impiannya.

Apatah lagi, sesi pelancaran album solo Riz di Hard Rock Cafe, baru-baru ini turut dihadiri golongan itu. Turut hadir di majlis itu ialah Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad.

Melihat kemesraan Riz bersama mereka dan pengakuannya mengenai kos pengeluaran album yang 100 peratus ditanggungnya menerusi Riz Entertainment, menguatkan persepsi negatif itu. Justeru, kesempatan bertemu dengannya selepas majlis pelancaran albumnya, tidak disia-siakan untuk menyusuri lanjut persoalan itu.

"Cabaran paling besar ketika melahirkan album ini adalah wang dan disebabkan itu saya mengambil masa yang agak lama. Kalau dikatakan saya mendapat tajaan, awal-awal lagi selepas keluar AF sudah ada album.

"Tetapi, mengapa saat ini baru ada? Ini kerana saya berusaha menyimpan separuh pendapatan hasil dari setiap persembahan yang dijayakan. Mereka yang anda lihat, adalah ahli kelab peminat rizangels dan datang sini untuk memberi sokongan padu pada karier seni saya. Langsung, tidak lebih dari itu," katanya.

Agak skeptikal jawapan yang diberikan Riz apatah lagi sebelum ini ada kedengaran yang empunya badan bercuti di luar negara iaitu Jakarta, Phuket dan Australia. Sudah tentu perbelanjaan diperlukan bukan sedikit, merangkumi harga tiket penerbangan, hotel, makanan dan juga membeli-belah. Ditambah, tolak dan bahagi semua, berapa banyaklah persembahan yang dapat dijayakannya itu dapat memenuhi perbelanjaan kos pengeluaran album.

"Bukankah sekarang syarikat penerbangan sibuk mempromosi pakej penerbangan murah? Saya sebenarnya sudah lama mendaftar di laman web mereka untuk dapat tiket murah. Jadi, ini sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan.

"Lagipun, saya ada restoran sendiri iaitu Restoran Riz , di Grik yang menjual makanan ala Thai. Selepas melihat kejayaan memberangsangkan, saya berpeluang membuka cawangan baru selepas raya baru-baru ini. Alhamdulillah, berkat persembahan dan keuntungan bersih daripada perniagaan restoran, secara tidak langsung membantu saya mengumpul wang untuk hasilkan album solo. Justeru, saya harap tidak ada lagi mana-mana pihak meragui sumber mana saya dapatkan duit," tegas Riz.

Menyingkap albumnya yang berjudul, Bermula Semula, beritahu Riz, proses rakaman bermula seawal September tahun lalu. Menariknya, lagu Ku Pinjam Satu Bincang, duet bersama Alya digubah semula dalam versi solo.

"Ketika ini, semua lagu sudah siap dirakam dan bakal menjengah pasaran pada hujung Oktober. Sebenarnya, lagu Berjudul Semula yang digubah Ajai mempunyai makna mendalam kerana menyamai kisah peribadi saya. Bila menyanyikan lagu itu, saya teringat ketika awal-awal masuk AF. Ketika itu, emak dan ayah bercerai dua minggu sebelum saya sertai AF.

"Konsert minggu pertama hinggalah minggu ketiga, saya langsung tidak nampak ayah. Menjelang minggu keempat ayah datang melihat persembahan saya tetapi dia duduk berasingan dengan mak. Saya pula tidak boleh keluar dari situ dan jumpa mereka kerana itu adalah undang-undang di AF.

"Alhamdulillah, konsert minggu kelima saya lihat mereka duduk sekali. Dari situ, saya andaikan mereka sudah berbaik-baik hinggalah kini hubungan ayah dan emak masih utuh. Jadi, saya tujukan khas lagu Berjudul Semula kepada mereka," ujar Riz.

Monday, October 19, 2009

ALBUM SOLO RIZ BUKAN DI TAJA MAK DATIN

credit to: Teks & Foto oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2009: Kehadiran kelab peminat Riz ketika pelancaran album sulung naib juara Akademi Fantasia 6 (AF6) itu di Hard Rock Cafe Kuala KL, baru-baru ini telah menimbulkan gosip.

Mana tidaknya, ini kerana ramai peminat Riz atau nama penuhnya, Mohammed Idris Mohd Zaizizi, pada hari itu tergolong dari kalangan Mak Datin, Datuk malah kerabat diraja yang sememangnya nampak sangat teruja dengan Riz.


Terdetik persoalan, adakah album
Bermula Semula yang telah mendapat sentuhan komposer popular Ajai dari Wake The Baby serta edaran oleh Warner Music (M) Sdn Bhd itu mendapat tajaan dana daripada peminat VIPnya itu? Malah apabila Riz kini memandu sebuah BMW, ia juga digosipkan sebagai kereta tajaan seseorang.

"Saya dah agak perkara ini akan digosipkan. Terus terang kesemua mereka hanyalah peminat setia saya yang sangat saya hormati. Malah sokong saya malah turut membeli album saya seperti mana peminat lain. Itulah perkara yang sangat mengharukan saya. Kedatangan mereka membakar lagi semangat saya dan itulah 'tajaan' yang tidak ternilai.


"Sebenarnya semua peminat VIP ini telah menyokong saya sejak dari dalam AF lagi," jelas Riz bersungguh-sungguh.

Album
Bermula Semula menyenaraikan 8 lagu yang mendapat sentuhan Ajai sebagai produser serta pembabitan beberapa nama popular dalam penulisan lirik seperti Slen, Abie Abdullah, Rosli Manah dan Ajai sendiri.

Berpuas hati dengan kemunculan album itu, Riz menjelaskan
Bermula Semula adalah hasil daripada duit simpanannya sendiri yang langsung tidak mengharapkan simpati atau 'pembiayaan terlindung'.

Katanya, daripada 8 lagu, hanya 3 lagu daripada album itu,
Hanya Sandiwara, Ku Pinjam Satu Bintang dan Kau Wanita telah disokong oleh Astro Entertaiment Sdn Bhd (AESB) sebagai syarikat showbiz yang bertanggungjawab memperkenalkan namanya ke persada seni hiburan.

Riz berkata, kerana kos penerbitan album itu yang agak mahal, dia terpaksa menangguh seketika penerbitan album itu sehingga simpanan kewangannya benar-benar mencukupi untuk melahirkan sebuah album penuh seperti hari ini.

"Sepatutnya album ini sudah dilancarkan beberapa bulan lalu tapi memandangkan ketika itu duit masih belum cukup, kenalah saya tungggu lagi. Banyak perkata perlu saya selesaikan seperti membayar rumah, kereta dan belanja harian.


"Kalau hendak tahu, ada satu masa, saya terduduk termangu bila memikirkan soal duit dan penerbitan album ini. Pernah juga saya mengikat perut dengan hanya makan mi segera saja, semata-mata nak kumpul duit untuk buat album ini. Alhamdulillah berkat usaha dan kesabaran semuanya telah tercapai," ujarnya.


Ibu dan ayah Riz sudah kembali bersatu

Sedar ini adalah masa terbaik untuk melahirkan album, Riz bersyukur kerana berpeluang menujukan salah satu lagu daripada album itu kepada kedua ibu bapanya yang telah bersatu kembali selepas beberapa bulan tidak tinggal sebumbung.


Menurut Riz, lirik yang tertulis pada lagu
Bermula Semula cukup memang simbolik bagi menceritakan kegembiraannya sebagai anak yang dapat melihat ibu bapanya kembali bersama.

"Sebenarnya ketika saya menyertai AF dulu, saya mengalami masalah keluarga. Mak dan ayah saya mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama.

Awalnya konsert AF minggu pertama, ayah saya tidak datang melihat saya.
"Tapi masuk minggu ke-3, saya dapat lihat ayah datang ke konsert meskipun tidak duduk dekat ibu saya ketika itu. Dari minggu ke minggu saya lihat mereka semakin rapat yang akhirnya memutuskan untuk bersama kembali,” katanya dalam nada terharu dan gembira.

Selain single popularnya
Hanya Sandiwara dan lagu duet bersama Alyah, Ku Pinjam Satu Bintang yang kerap berkumandang di corong-corong radio, Riz turut mempertaruhkan lagu seperti Khilaf, Harus Ku Yang Pergi dan Cinta Ini.

Lagu-lagu ini juga boleh dimuat turun untuk dijadikan nada dering bagi telefon bimbit anda. Sementara itu, difahamkan, lagu Riz dan Alyah iaitu Ku Pinjam Satu Bintang layak menyertai semi-final Muzik Muzik dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh TV3 minggu depan. Tahniah Riz!

Digilai mak datin, Riz tidak kisah

credit: Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
SEBELUM ini heboh kononnya kehidupan Riz ditaja sehingga membolehkannya bergaya sakan dengan barangan berjenama mewah termasuk memiliki sebuah kereta mewah, BMW 320i.

Apatah lagi kerjaya seninya masih baru berputik dan tidaklah sehebat mana.

Melihat kepada kebanyakan peminat yang hadir pada majlis pelancaran album penyanyi Riz atau nama sebenarnya Mohammed Idris Mohd Zaizizi baru-baru ini, ia seperti mengiyakan gosip hangat yang pernah tersebar tentang dirinya itu.

Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kenamaan termasuk kerabat diraja, wanita berpengaruh dan mak datin yang dilihat menyokong kuat perjalanan kerjaya pemuda berusia 24 tahun ini.

Seperti mengetahui apa yang berlegar di minda pihak media, Riz menjelaskan semua peminat golongan kenamaan itu telah menyokongnya sejak dia berada dalam program Akademi Fantasia (AF6) musim keenam lagi.

Justeru, tiada salahnya jika mereka masih menyokongnya sehingga ke hari ini.

"Saya tidak kisah siapa yang minat saya, remaja, orang tua, lelaki, atau mak datin sekali pun saya menerimanya. Bagi saya sebagai artis saya tidak boleh menentukan kelompok peminat. Semuanya terpulang kepada seseorang individu.

"Saya senang dan selesa dengan keadaan sekarang walaupun ada mulut-mulut di luar sana yang mengatakan saya ditaja oleh peminat yang kaya raya. Baguslah mereka berduit boleh beli album saya yang asli," ujarnya berseloroh.

RIZ menunggu lebih setahun untuk menghasilkan sebuah album penuh yang turut menyaksikan kolaborasinya dengan penyanyi Alyah.

Meskipun kebanyakan peminatnya terdiri daripada golongan kenamaan, itu bukanlah satu tiket untuk Riz mengambil kesempatan terhadap peminatnya.

"Kalau benar saya ditaja orang, rasanya album saya sudah lama keluar tidak perlu menunggu sehingga setahun. Tetapi kerana bajet yang terhad dan menggunakan wang simpanan saya sendiri baru sekarang album solo pertama saya muncul," ujarnya.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh setahun wang diperolehi dari persembahan nyanyian akan disimpan sedikit demi sedikit ke dalam akaun syarikat miliknya Riz Entertainment bagi membikin albumnya.

"Bukan murah nak buat album berpuluh ribu juga habis, itu belum masuk promosi dan lain-lain kos. Kalau benar ditaja tidak perlulah saya susah-susah kumpul duit.

"Peminat yang datang hari ini semua sekadar menyokong sahaja tidak lebih daripada itu," katanya jujur.

Album buat ibu bapa

Istimewanya tentang album yang berjudul Bermula Semula ini, Riz memberitahu ia ditujukan buat kedua-dua ibu bapanya kerana ketika memperolehi lirik lagu tersebut ia seolah-olah menggambarkan situasi keluarganya.

"Bapa dan ibu saya pernah bercerai dalam dua bulan semasa saya masuk AF6, kemudian mereka rujuk semula tidak lama selepas itu.

"Judul album Bermula Semula menggambarkan satu permulaan baru buat ibu bapa saya. Saya bersyukur kini mereka sudah kembali bersama," katanya yang berkolaborasi bersama Alyah dalam lagu berjudul Bermula Semula.

RIZ menafikan dia ditaja oleh orang kenamaan atau mak datin.

Menyentuh tentang album lagi, Riz telah memberi sepenuh kepercayaan kepada komposer terkenal Ajai selaku penerbit dan pencipta kebanyakan lagu dalam album sulungnya itu.

Pilihannya itu dianggap tepat kerana kebanyakan lagu yang diperdengarkan pada majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe cukup mesra telinga.

Kata Riz, dia memilih Ajai disebabkan kredibiliti yang dimiliki komposer itu dan yakin dengan hasil yang bakal diberi kepadanya.

"Album ini hasil duit saya, cuma tiga lagu dibiayai oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd. kerana telah dirakam ketika Maestro masih ada.

"Oleh itu, saya mahu yang terbaik dan saya sebenarnya suka dengan kebanyakan lagu-lagu Ajai. Bukan saya tidak mahu bekerjasama dengan komposer lain, sebab ada dua lagu saya dicipta oleh orang lain.

ANTARA kenamaan dan datin yang menyokong kerjaya Riz.

"Disebabkan ini album pertama, ia sekadar percubaan. Kalau peminat suka mungkin album seterusnya baru saya akan bekerja dengan ramai komposer," ujarnya tentang album yang kebanyakan liriknya ditulis oleh rakan media.

Masalah pasaran album lembap memang tidak pernah berkesudahan tetapi menurut Riz pada mulanya dia juga seperti penyanyi baru yang lain hanya ingin melahirkan sebuah mini album.

Tetapi selepas berbincang dengan Ajai dan setahun tempoh kajian, akhirnya mereka mencapai kata sepakat menghasilkan album dengan lapan buah lagu termasuk versi live lagu yang dinyanyikan pada konsert terakhir AF6 yang berjudul Hanya Sandiwara.

"Setiap penyanyi mesti nak keluarkan album, cuma saya bernasib baik kerana dapat hasilkan sebuah album penuh dalam pasaran yang agak lembap," ungkapnya.

RIZ bersama ahli keluarganya semasa pelancaran album Bermula Semula.

Walaupun begitu, Ajai cukup yakin album sulung Riz bakal mendapat sambutan kerana selain dijual secara fizikal oleh pihak Warner Music (M) Sdn.Bhd yang bertindak selaku pengedar, setiap lagu juga boleh dimuat turun oleh peminat.

"Memang sekarang zaman muat turun tetapi saya percaya promosi cara lama paling berkesan apabila artis Wake The Baby, Alyah berjaya menarik perhatian masyarakat dengan bakat yang dimilikinya.

"Berdasarkan pengalaman itu, kami akan gunakan sepenuhnya untuk mempromosi album ini termasuk mengadakan persembahan pentas jelajah di seluruh negara untuk mendekatkan diri dengan peminat," terang Ajai.

KOMPOSER Ajai dan Ketua Bahagian Domestik Warner Music, Ahmad Mokhtazar melancarkan album Bermula Semula bersama Riz.

Selain lagu Bermula Semula, lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet bersama Alyah juga dimuatkan dalam album itu. Menariknya dalam album Riz lagu tersebut akan dipersembahkan secara solo.

Bukan itu sahaja, album Bermula Semula turut menampilkan lagu Hanya Sandiwara, Harus Ku Pergi, Kau Wanita, Kehilangan, Cinta Ini dan Khilaf.

Thursday, October 15, 2009

Wartawan senior tulis lirik album Riz

credit to: Rosli Manah (Mangga online)

Secara kebetulan album sulung Riz berjudul Bermula Semula menampilkan empat wartawan yang boleh dikira senior sebagai penulis lirik. Adakah ia sebagai strategi untuk mendapatkan publisiti lebih meluas?

Sebenarnya ia secara kebetulan kerana komposer Ajai yang menerbitkan albumnya telah biasa bekerjasama dengan Slen (Roslen Fadzil dari murai.com.my) dan Abie (Harian Metro) dalam projek album artis lain sebelum ini. Untuk album Riz khidmat mereka juga digunakan.

Abie menulis lirik lagu Bermula Semula yang dijadikan single pertama album tersebut manakala Slen menulis lirik untuk lagu Khilaf dan lagu Kupinjam Satu Bintang. Kesemuanya ciptaan Ajai. Dean (Saharuddin Musthafa dari Utusan Malaysia) pula menyumbangkan lagu Hanya Sandiwara yang dinyanyikan oleh Riz dalam konsert akhir Akademi Fantasia 6 tahun lalu. Turut menulis lirik, Rosli Manah dari manggaonline.com.my) menerusi lagu ciptaan Ajai, Cinta Ini.

Album yang tersebut diterbitkan oleh syarikatnya sendiri, Riz Entertainment dengan kerjasama Wake The Baby Records milik Ajai. Warner Music pula menjadi pengedarnya.

Sokongan VIP

Dalam majlis pelancaran album itu di Kuala Lumpur baru-baru ini kelihatan kelibat beberapa orang ternama termasuk puteri Sultan hadir memberi senyokong kepada Riz. Ada yang tanya adalah mereka terlibat secara tidak langsung membiayai pembikinan album Riz?

"Kalau ada pihak yang membiayai album ini, sudah lama album saya dipasarkan. Saya gunakan wang sendiri yang saya kumpul selama ini, sebab itu album saya lambat sikit disiapkan.

"Saya puas sangat sebab akhirnya album saya disiapkan dan berada di pasaran," kata Riz.

Tuesday, September 29, 2009

‘Homestyle’ Iftar bersama Riz, Angels dan keluarga

Riz ceria ketika majlis berbuka puasa pertengahan Ramadan lalu. -foto Riz Angles.

BERTEMPAT di sebuah banglo Villa Ukhuwah, Persiaran Titiwangsa, penyanyi Riz AF6, peminat yang dinamakan Angels serta keluarga menganjurkan majlis berbuka puasa istimewa pada 6 September lalu.

Majlis bermula dengan jam 5.30 petang untuk pendaftaran para tetamu. Lebih kurang 50 orang peminat yang sudi hadir untuk menyerikan majlis.

Riz sempat bersolat jemaah Maghrib dan Isyak dengan peminat dan keluarganya.

Agenda, selain dari berbuka puasa, beramah mesra dengan lebih akrab lagi dengan peminat, Riz mengambil peluang yang ada untuk diadakan solat Jemaah Maghrib, Isyak justeru sembahyang Terawih bersama-sama peminatnya yang di ketuai oleh imam, Ustaz Muaz. Bagaikan sebuah keluarga yang besar , bertemu bagaikan majlis “Reunion” antara keluarga sudah tentu menjadi lebih kecoh dan ceria pada petang itu.

Sesiapa sahaja boleh mendekati Riz, berbual mesra bagaikan silaturahim yang jitu mengukuhkan lagi tali persaudaraan di bulan Ramadhan. Tepat jam 7.20 petang dengan laungan azan, Riz dan peminat-peminatnya berbuka puasa dengan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t yang memberi kemudahan dan rezeki pada itu.

Kuih-muih dan juga makanan pencuci mulut di bawa oleh para peminat sebab Riz ingin merasa masakan dari peminatnya.

Termasuk makanan menjamu selera berbuka puasa seperti nasi tomato, nasi putih, dalca, ayam masak merah, acar, sambal udang, dan laksa. Setelah selesai menjamah makanan, masing-masing mengambil tempat untuk sembahyang berjemaah Maghrib.
Setelah selesai sembahyang Maghrib, sesi beramah mesra dan sesi mengambil gambar antara peminat-peminat dengan Riz.

Ada juga yang mengambil kesempatan bergambar di sekitar banglo Villa Ukhuwah. Tidak lama kemudian, sembahyang jemaah Isyak dan diikuti dengan sembahyang terawih.

Untuk pertama kalinya, Rizfc mengadakan majlis sebegini dan ramai peminat yang terharu begitu juga dengan Riz akan silaturahim yang terjalin lebih dari setahun.
Lebih-lebih lagi kedua-dua orang tua Riz yang mesra disapa uncle Zaizi dan mak Som serta kakaknya Emma dan tunangnya serta rakan-rakannya sudi meluangkan masa bersama-sama peminatnya yang setia. Riz dengan angelnya, berkumpul membuat satu bulatan dan masing-masing berbual sambil meluahkan rasa hati antara peminat terhadap Riz.

Riz berulang kali mengucap terima kasih dan rasa penghargaannya terhadap peminat yang masih berdiri teguh menyokong akan perjalanan kariernya.

Riz mengambil kesempatan dengan menyanyikan single lagu kedua ‘Bermula Semula’ secara acapella untuk peminatnya.

Walaupun, hanya korus tetapi ianya memadai untuk menjadi santapan halwa telinga pendengar peminat-peminatnya. Majlis berlangsung hingga jam 11.30 malam dan yang paling menyeronokkan acara bergotong-royong untuk mengemas dan mencuci pinggan mangkuk ala-ala rewang lagi dan Riz turut membantu dan itu membuat peminat merasa lebih terharu.

credit to: Mstar Online

Friday, September 11, 2009

RIZ @ Media Hiburan Khas Aidilfitri


CEPAT2 JGN LPSKAN PELUANG... DPTKAN SEGERA MAJALAH MH SEKARANG...!!!

ENDLESS NIGHT 2

salam...

kpd peminat riz & nadia... mari lah sama2 sertai EN 2... tanda sokongan pada artis pujaan anda... =)

Hotel Putra, KL / 7 November 2009 (8.00pm)

Tiket : VVIP - RM200.00, VIP - RM110.00, STANDARD - RM90.00

Reservation / Questions :
Hazwan (016-6265641) / nomotnomot@yahoo.com

Terima Kasih...