Monday, October 19, 2009

Digilai mak datin, Riz tidak kisah

credit: Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
SEBELUM ini heboh kononnya kehidupan Riz ditaja sehingga membolehkannya bergaya sakan dengan barangan berjenama mewah termasuk memiliki sebuah kereta mewah, BMW 320i.

Apatah lagi kerjaya seninya masih baru berputik dan tidaklah sehebat mana.

Melihat kepada kebanyakan peminat yang hadir pada majlis pelancaran album penyanyi Riz atau nama sebenarnya Mohammed Idris Mohd Zaizizi baru-baru ini, ia seperti mengiyakan gosip hangat yang pernah tersebar tentang dirinya itu.

Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kenamaan termasuk kerabat diraja, wanita berpengaruh dan mak datin yang dilihat menyokong kuat perjalanan kerjaya pemuda berusia 24 tahun ini.

Seperti mengetahui apa yang berlegar di minda pihak media, Riz menjelaskan semua peminat golongan kenamaan itu telah menyokongnya sejak dia berada dalam program Akademi Fantasia (AF6) musim keenam lagi.

Justeru, tiada salahnya jika mereka masih menyokongnya sehingga ke hari ini.

"Saya tidak kisah siapa yang minat saya, remaja, orang tua, lelaki, atau mak datin sekali pun saya menerimanya. Bagi saya sebagai artis saya tidak boleh menentukan kelompok peminat. Semuanya terpulang kepada seseorang individu.

"Saya senang dan selesa dengan keadaan sekarang walaupun ada mulut-mulut di luar sana yang mengatakan saya ditaja oleh peminat yang kaya raya. Baguslah mereka berduit boleh beli album saya yang asli," ujarnya berseloroh.

RIZ menunggu lebih setahun untuk menghasilkan sebuah album penuh yang turut menyaksikan kolaborasinya dengan penyanyi Alyah.

Meskipun kebanyakan peminatnya terdiri daripada golongan kenamaan, itu bukanlah satu tiket untuk Riz mengambil kesempatan terhadap peminatnya.

"Kalau benar saya ditaja orang, rasanya album saya sudah lama keluar tidak perlu menunggu sehingga setahun. Tetapi kerana bajet yang terhad dan menggunakan wang simpanan saya sendiri baru sekarang album solo pertama saya muncul," ujarnya.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh setahun wang diperolehi dari persembahan nyanyian akan disimpan sedikit demi sedikit ke dalam akaun syarikat miliknya Riz Entertainment bagi membikin albumnya.

"Bukan murah nak buat album berpuluh ribu juga habis, itu belum masuk promosi dan lain-lain kos. Kalau benar ditaja tidak perlulah saya susah-susah kumpul duit.

"Peminat yang datang hari ini semua sekadar menyokong sahaja tidak lebih daripada itu," katanya jujur.

Album buat ibu bapa

Istimewanya tentang album yang berjudul Bermula Semula ini, Riz memberitahu ia ditujukan buat kedua-dua ibu bapanya kerana ketika memperolehi lirik lagu tersebut ia seolah-olah menggambarkan situasi keluarganya.

"Bapa dan ibu saya pernah bercerai dalam dua bulan semasa saya masuk AF6, kemudian mereka rujuk semula tidak lama selepas itu.

"Judul album Bermula Semula menggambarkan satu permulaan baru buat ibu bapa saya. Saya bersyukur kini mereka sudah kembali bersama," katanya yang berkolaborasi bersama Alyah dalam lagu berjudul Bermula Semula.

RIZ menafikan dia ditaja oleh orang kenamaan atau mak datin.

Menyentuh tentang album lagi, Riz telah memberi sepenuh kepercayaan kepada komposer terkenal Ajai selaku penerbit dan pencipta kebanyakan lagu dalam album sulungnya itu.

Pilihannya itu dianggap tepat kerana kebanyakan lagu yang diperdengarkan pada majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe cukup mesra telinga.

Kata Riz, dia memilih Ajai disebabkan kredibiliti yang dimiliki komposer itu dan yakin dengan hasil yang bakal diberi kepadanya.

"Album ini hasil duit saya, cuma tiga lagu dibiayai oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd. kerana telah dirakam ketika Maestro masih ada.

"Oleh itu, saya mahu yang terbaik dan saya sebenarnya suka dengan kebanyakan lagu-lagu Ajai. Bukan saya tidak mahu bekerjasama dengan komposer lain, sebab ada dua lagu saya dicipta oleh orang lain.

ANTARA kenamaan dan datin yang menyokong kerjaya Riz.

"Disebabkan ini album pertama, ia sekadar percubaan. Kalau peminat suka mungkin album seterusnya baru saya akan bekerja dengan ramai komposer," ujarnya tentang album yang kebanyakan liriknya ditulis oleh rakan media.

Masalah pasaran album lembap memang tidak pernah berkesudahan tetapi menurut Riz pada mulanya dia juga seperti penyanyi baru yang lain hanya ingin melahirkan sebuah mini album.

Tetapi selepas berbincang dengan Ajai dan setahun tempoh kajian, akhirnya mereka mencapai kata sepakat menghasilkan album dengan lapan buah lagu termasuk versi live lagu yang dinyanyikan pada konsert terakhir AF6 yang berjudul Hanya Sandiwara.

"Setiap penyanyi mesti nak keluarkan album, cuma saya bernasib baik kerana dapat hasilkan sebuah album penuh dalam pasaran yang agak lembap," ungkapnya.

RIZ bersama ahli keluarganya semasa pelancaran album Bermula Semula.

Walaupun begitu, Ajai cukup yakin album sulung Riz bakal mendapat sambutan kerana selain dijual secara fizikal oleh pihak Warner Music (M) Sdn.Bhd yang bertindak selaku pengedar, setiap lagu juga boleh dimuat turun oleh peminat.

"Memang sekarang zaman muat turun tetapi saya percaya promosi cara lama paling berkesan apabila artis Wake The Baby, Alyah berjaya menarik perhatian masyarakat dengan bakat yang dimilikinya.

"Berdasarkan pengalaman itu, kami akan gunakan sepenuhnya untuk mempromosi album ini termasuk mengadakan persembahan pentas jelajah di seluruh negara untuk mendekatkan diri dengan peminat," terang Ajai.

KOMPOSER Ajai dan Ketua Bahagian Domestik Warner Music, Ahmad Mokhtazar melancarkan album Bermula Semula bersama Riz.

Selain lagu Bermula Semula, lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet bersama Alyah juga dimuatkan dalam album itu. Menariknya dalam album Riz lagu tersebut akan dipersembahkan secara solo.

Bukan itu sahaja, album Bermula Semula turut menampilkan lagu Hanya Sandiwara, Harus Ku Pergi, Kau Wanita, Kehilangan, Cinta Ini dan Khilaf.

No comments:

Post a Comment