Tuesday, October 20, 2009

Hasil titik peluh terbitkan album


credit to: Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Justeru, tidak hairanlah apabila kehadiran penyanyi tinggi lampai ini sentiasa mendapat perhatian. Walaupun menyepi seketika selepas berakhirnya AF6, dia kembali menyengat menerusi single Ku Pinjam Satu Bintang, hasil paduan suara bersama Alya.

Sepinya Riz, 23, bukan bererti menarik diri, tetapi sibuk dengan proses album sulungnya. Akhirnya, kerja keras yang dimulai sejak hujung tahun lalu membuahkan hasil apabila Riz bakal menerbitkan album penuh yang dijangka berada di pasaran hujung bulan ini. Biarpun tidak sabar menanti, dia dikatakan pula mendapat tajaan golongan VIP bagi merealisasikan impiannya.

Apatah lagi, sesi pelancaran album solo Riz di Hard Rock Cafe, baru-baru ini turut dihadiri golongan itu. Turut hadir di majlis itu ialah Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad.

Melihat kemesraan Riz bersama mereka dan pengakuannya mengenai kos pengeluaran album yang 100 peratus ditanggungnya menerusi Riz Entertainment, menguatkan persepsi negatif itu. Justeru, kesempatan bertemu dengannya selepas majlis pelancaran albumnya, tidak disia-siakan untuk menyusuri lanjut persoalan itu.

"Cabaran paling besar ketika melahirkan album ini adalah wang dan disebabkan itu saya mengambil masa yang agak lama. Kalau dikatakan saya mendapat tajaan, awal-awal lagi selepas keluar AF sudah ada album.

"Tetapi, mengapa saat ini baru ada? Ini kerana saya berusaha menyimpan separuh pendapatan hasil dari setiap persembahan yang dijayakan. Mereka yang anda lihat, adalah ahli kelab peminat rizangels dan datang sini untuk memberi sokongan padu pada karier seni saya. Langsung, tidak lebih dari itu," katanya.

Agak skeptikal jawapan yang diberikan Riz apatah lagi sebelum ini ada kedengaran yang empunya badan bercuti di luar negara iaitu Jakarta, Phuket dan Australia. Sudah tentu perbelanjaan diperlukan bukan sedikit, merangkumi harga tiket penerbangan, hotel, makanan dan juga membeli-belah. Ditambah, tolak dan bahagi semua, berapa banyaklah persembahan yang dapat dijayakannya itu dapat memenuhi perbelanjaan kos pengeluaran album.

"Bukankah sekarang syarikat penerbangan sibuk mempromosi pakej penerbangan murah? Saya sebenarnya sudah lama mendaftar di laman web mereka untuk dapat tiket murah. Jadi, ini sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan.

"Lagipun, saya ada restoran sendiri iaitu Restoran Riz , di Grik yang menjual makanan ala Thai. Selepas melihat kejayaan memberangsangkan, saya berpeluang membuka cawangan baru selepas raya baru-baru ini. Alhamdulillah, berkat persembahan dan keuntungan bersih daripada perniagaan restoran, secara tidak langsung membantu saya mengumpul wang untuk hasilkan album solo. Justeru, saya harap tidak ada lagi mana-mana pihak meragui sumber mana saya dapatkan duit," tegas Riz.

Menyingkap albumnya yang berjudul, Bermula Semula, beritahu Riz, proses rakaman bermula seawal September tahun lalu. Menariknya, lagu Ku Pinjam Satu Bincang, duet bersama Alya digubah semula dalam versi solo.

"Ketika ini, semua lagu sudah siap dirakam dan bakal menjengah pasaran pada hujung Oktober. Sebenarnya, lagu Berjudul Semula yang digubah Ajai mempunyai makna mendalam kerana menyamai kisah peribadi saya. Bila menyanyikan lagu itu, saya teringat ketika awal-awal masuk AF. Ketika itu, emak dan ayah bercerai dua minggu sebelum saya sertai AF.

"Konsert minggu pertama hinggalah minggu ketiga, saya langsung tidak nampak ayah. Menjelang minggu keempat ayah datang melihat persembahan saya tetapi dia duduk berasingan dengan mak. Saya pula tidak boleh keluar dari situ dan jumpa mereka kerana itu adalah undang-undang di AF.

"Alhamdulillah, konsert minggu kelima saya lihat mereka duduk sekali. Dari situ, saya andaikan mereka sudah berbaik-baik hinggalah kini hubungan ayah dan emak masih utuh. Jadi, saya tujukan khas lagu Berjudul Semula kepada mereka," ujar Riz.

No comments:

Post a Comment