Sunday, March 8, 2009

Kemampuan Riz Jadi Kebanggaan Ajai


credit to: Razif Rosdi (murai.com.my)

Sekian lama menanti, naib juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Riz atau Mohammed Idris Mohd Zaizizi, telah bersiap sedia untuk muncul dengan album solo pertamanya yang diberi judul Bermula Semula. Untuk album yang ditangani dengan teliti itu, Riz telah banyak mendapat bimbingan daripada komposer terkenal Ajai serta beberapa nama penulis lirik berbakat termasuklah ketua editor murai.com.my sendiri, Roslen Fadzil a.k.a. Slen.

Bukan itu sahaja, Riz turut berduet bersama penyanyi yang semakin popular Alyah, menerusi lagu rancak, Ku Pinjam Satu Bintang yang dicipta oleh Ajai bersama Slen. Pasangan komposer dan penulis lirik itu turut mencipta sebuah melodi balada berjudul Khilaf yang dijangka akan menaikkan lagi nama Riz sebagai artis solo. Album ini bukan omong kosong kerana telah pun diperdengarkan kepada pihak media tempatan di pejabat Maestro Talent & Management, di Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Penghayatan Riz menerusi lagu berentak balada memang mantap. Sebab itulah saya tak ambil banyak masa untuk menyiapkan rakaman suara Riz untuk album ini. Lagipun, Riz seorang yang rajin serta selalu buat homework dengan kerap berlatih. Ia sikap yang harus ada pada setiap artis baru sepertinya," ujar Ajai.

Difahamkan, proses rakaman ini telah bermula sejak September tahun lalu hingga awal tahun ini. Album ini mendapat kerjasama dari Maestro Talent dan syarikat Riz sendiri, Riz Entertainment. Selain lagu berkualiti, Riz turut menggunakan khidmat Nizam Rahmat dari Ad Verse Sdn Bhd untuk rekaan kulit album. Riz turut juga bekerjsama dengan jurusolek, Chomel, bagi penggayaan imej terbarunya. Mengikut jadual album ini akan menjengah pasaran pada sekitar April dan selewat-lewatnya Mei ini.

Bagi Riz sendiri, dia berpuas hati dengan album itu yang membuktikan perjuangannya baru bermula selepas keluar dari AF6.

"Inilah hadiah saya kepada peminat yang memberikan sokongan kepada saya selama ini. Saya harap mereka akan menerima kesemua lagu yang dimuatkan dalam Bermula Semula. Saya teruja dapat berduet dengan penyanyi yang lebih berpengalaman seperti Alyah untuk lagu Ku Pinjam Satu Bintang.

"Klip video lagu Ku Pinjam Satu Bintang telah pun saya dan Alyah buat di Jakarta hujung tahun lalu dan apa yang menarik, krew produksi di sana pun sukakan lagu itu selepas pertama kali mendengarnya. Bagi mereka lagu itu sungguh catchy dan liriknya sangat mudah difahami oleh mereka," kata Riz.

Senarai lagu dalam album Riz:

1. Harus Ku Yang Pergi (Lagu/Lirik: Ajai)
2. Bermula Semula (Lagu/Lirik: Ajai/Abie)
3. Kehilangan (Lagu/Lirik: Ajai & Noh/Ajai)
4. Kau Wanita (Lagu/Lirik: Omar)
5. Cinta Ini (Lagu/Lirik: Ajai/Rosli)
6. Khilaf (Lagu/Lirik: Ajai/Slen)
7. Hanya Sandiwara (Lagu/Lirik: Leez/Dean)
8. Ku Pinjam Satu Bintang (duet bersama Alyah - Lagu/Lirik: Ajai/Slen)

No comments:

Post a Comment